Bismillahirrahmanirrahim...
Hikmah kelahiran baginda Rasulullah s.a.w tidak menyamai kelahiran sesiapa sahaja dari umat ini. Allah s.w.t dengan rahmat dan 'inayahnya telah menentukan bahawa seorang manusia yang dilahirkan pada bulan Rabi'ul Awwal, di Kota Makkah (Mecca), berbangsa Arab Quraisy, dari keturunan Nabi Ibrahim a.s, bakal menjadi penutup segala nabi dan rasul yang diutuskan Allah s.w.t ke dunia ini.
Kelahiran baginda Rasulullah s.a.w diiringi dengan pelbagai kejadian aneh lagi hebat seperti yang tercatat dalam kitab As-Sirah:
PERTAMA
Bondanya, Siti Aminah melihat cahaya keluar dari tubuhnya lantas menerangi istana-istana Negara Syam.
KEDUA
Api besar yang menjadi sembahan harian kaum Majusi beberapa kurun telah terpadam, dan
KETIGA
Runtuhnya 14 beranda istana maharaja Parsi dll.
Kejadian-kejadian ini adalah permulaan kepada misi kejayaan Agama Allah s.w.t iaitu agama Islam, dalam menghapuskan ajaran syirik dan khurafat yang telah menggelapkan jiwa dan kerohanian umat manusia ketika itu.
Baginda Rasulullah s.a.w telah digelar sebagai Al-Amin, dimana baginda merupakan seorang yang sangat amanah. Sifat amanah yang ada pada diri Nabi s.a.w semenjak kecil lagi, telah menjadikan Baginda s.a.w seorang yang paling dihormati di dalam masyarakat Arab ketika itu, ditambah pula dengan peribadi terpuji dan perangai yang menarik.
"DAN SESUNGGUHNYA KAMU (YAKNI NABI MUHAMMAD S.A.W) MEMPUNYAI PEKERTI YANG SANGAT MULIA."
(Surah Al-Qalam: ayat 4)
Nabi Muhammad s.a.w telah dilahirkan dalam keadaan yatim, membesar dalam jagaan bonda dan nendanya sebelum kehilangan mereka. Kemudian Baginda s.a.w dipelihara oleh bapa saudaranya iaitu Abu Talib, yang menyayanginya lebih dari zuriatnya sendiri.
Walaupun kehidupan Rasulullah penuh dengan episod duka dan mencabar, Baginda s.a.w tidak pernah mengalah kepada keadaan yang berlaku. Baginda s.a.w semasa remajanya mengembala kambing dan menceburkan diri dalam bidang perniagaan serta berdikari mencari rezeki.
Kesungguhan Rasulullah s.a.w patut dijadikan iktibar dan pedoman, contoh dan tauladan kepada semua dalam menjalani kehidupan duniawi tanpa mengalah kepada segala rintangan dan cabaran yang berlaku.
"TELAH DATANG KEPADA KAMU SEORANG RASUL DARI GOLONGAN KAMU SENDIRI, YANG MENJADI SANGAT BERAT KEPADANYA SEBARANG KESUSAHAN YANG DITANGGUNG OLEH KAMU, YANG SANGAT INGINKAN KEBAIKAN BAGI KAMU, DAN DIA PULA MENUMPAHKAN PERASAAN BELAS SERTA KASIH SAYANGNYA KEPADA ORANG YANG BERIMAN. KEMUDIAN JIKA MEREKA BERPALING INGKAR, MAKA KATAKANLAH WAHAI MUHAMMAD: CUKUPLAH BAGIKU ALLAH (YANG MENOLONG DAN MEMELIHARAKU), TIADA TUHAN YANG BERHAK DISEMBAH MEKAINKAN DIA, KEPADANYA AKU BERSERAH DIRI, DAN DIALAH TUHAN YANG MEMILIKI ARASY YANG BESAR."
(Surah At-Taubah: 128-129)
No comments:
Post a Comment