Saturday, 2 February 2013

Khurafat dan Akibatnya.

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum…

Alhamdulillah, syukur ke hadrat yang Maha Pencipta kerana mencipta kita sebagai makhluk istimewa. Istimewa yang bagaimana tu? Kita sebagai manusia adalah ciptaan yang paling elok dan Allah s.w.t melebihkan kita daripada makhluk-makhluknya yang lain dengan kurniaan AKAL.

          Oleh itu, kita janganlah mensia-siakan nikmat akal/minda dengan merekacipta sesuatu mitos atau kepercayaan yang bercanggah dengan akidah.

Saya terpanggil untuk berkongsi dengan para pembaca berkenaan topik ini apabila melihat dan mendengar tentang beberapa perkara dan kepercayaan turun temurun yang masih dipegang oleh segolongan kecil masyarakat kita. Contohnya: Ambil gambar bertiga tidak dibolehkan kerana akibatnya salah seorang yang bergambar akan meninggal dunia. Agak kelakar bunyinya kan… Saya juga pernah mahu mengambil gambar bertiga bersama rakan karib semasa zaman persekolahan dahulu. Oleh kerana kepercayaan ini, sahabat karib saya enggan bergambar. Dan akibatnya? Saya dan sahabat saya itu bertelagah. Pengakhirannya, kami tidak pernah muncul bertiga dalam satu gambar.

Itu adalah salah satu contoh. Bagaimana pula kita dalam hal-hal yang lain? Orang Melayu (sebilangannya) amat mempercayai dan bergantung kepada bomoh atau dukun. Musibah dan dugaan yang diturunkan oleh Allah swt adalah untuk menguji keimanan hamba-hambaNya. Sekiranya kita sabar, amat besar ganjarannya di sana nanti. Tetapi, apa pula yang berlaku apabila dugaan tersebut dapat ditempuh dan dilalui? Bukannya mengucap syukur Alhamdulillah (berterima kasih pada Allah), tapi malangnya mereka menguwar-warkan kepandaian dukun dan bomoh-bomoh tertentu dengan menyatakan kebolehan dan kepandaian mereka untuk menyembuhkan penyakit. Ingatlah, yang memberi ujian itu adalah Allah swt, yang menyembuhkan juga adalah Allah Azza Wajalla.

“Dan jika Allah menimpakan engkau dengan bahaya bencana, maka tidak ada sesiapa pun yang dapat menghapuskannya melainkan Dia sendiri. Dan jika ia mengenakan (melimpahkan) engkau dengan kebaikan, maka Dia adalah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.”
Surah Al-An’am, ayat 17

          Semasa Nabi Muhammad s.a.w dilantik menjadi Rasul, masyarakat Arab pada ketika itu berada dalam suasana khurafat, dilanda kesesatan serta diselimuti dengan prasangka buruk dan pemikiran yang bukan-bukan.

Berhati-hatilah, khurafat dan pemikiran yang negatif yang penuh dengan khayalan boleh menghancurkan sendi-sendi akidah dan mendedahkan manusia kepada kehidupan yang mundur, kaku dan terperangkap dalam kepercayaan karut. (Pesanan ini dikongsi untuk mengingatkan saya sendiri serta para pembaca).

          Oleh kerana unsur-unsur khurafat ini telah disogokkan oleh golongan yang lebih tua dan berpengalaman, golongan muda ada yang akur serta menerima dan berpegang secara membuta tuli. Apabila budaya-budaya khurafat ini bertapak dalam sanubari dan disogokkan oleh golongan yang berkuasa dan penuh degan sifat-sifat ego, maka golongan akar umbi terpaksa akur serta menerimanya menjadi sebahagian daripada cara hidup.

Firman Allah dalam surah Luqman ayat 21:
“Dan apabila dikatakan kepada mereka (yang ingkar): Turutlah akan apa yang telah diturunkan oleh Allah, mereka menjawab: Bahkan kami hanya menurut apa yang kami dapati dari datuk nenek kami. Patutkah begitu? Sekalipun syaitan mengajak mereka kedalam azab api neraka yang marak menjulang?”

                    Bagaimana pula dengan kepercayaan lain yang popular dalam masyarat Melayu yang beragama Islam kini? Ada yang percaya kepada kuasa penunggu, kepercayaan kepada tuah disebabkan oleh burung tertentu, permata cincin, objek-objek misteri, angka-angka bertuah, ada yang berprasangka buruk kepada orang yang kononnya membawa sial dan sukar mendapat rezeki.

                   Islam adalah agama yang mendukung ajaran-ajaran murni, serta syariat yang mampu membawa manusia kepada peradaban dan tamadun yang tinggi serta berupaya melahirkan masyarat yang bermoral, penyayang dan sentiasa berfikiran positif.

            Islam menentang kebatilan, syirik, khurafat dan pemikiran negatif. Islam didatangkan untuk membersihkan jiwa manusia daripada kesyirikan, riak dan sifat-sifat bongkak yang hanya mahir mempertahankan keegoan dan pengaruh dengan menanamkan prasangka-prasangka buruk.

Marilah kita sebagai umat Islam mengambil iktibar dan tauladan. Semoga kita tergolong dalam kalangan umat Nabi Muhammad s.a.w yang bertaqwa. 

Allahuaklam.








No comments: